Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...
Kali ni saya tergerak untuk berkongsi dengan kawan-kawan semua
berkenaan kembara solo saya ke Pulau Okinawa, Jepun. Mungkin ada di antara kita yang
pernah menonton drama "Ku Tinggalkan Cinta di Okinawa" sebelum ni kan.
Jadi kali ni saya akan membawa korang lebih dekat lagi dengan sebuah pulau yang
cukup indah ini.
Bagaimana untuk ke
Okinawa?
Okinawa merupakan sebuah pulau yang teletak jauh di bahagian
selatan negara Jepun. Bandar utama Pulau Okinawa ialah Naha. Jadi kalau korang
nak ke Okinawa ni, cara paling mudah adalah dengan menaiki penerbangan dari
Tokyo ataupun Osaka. Kalau dari Tokyo, korang boleh menaiki penerbangan tambang
murah seperti Peach Aviation, Jetstar Japan ataupun Vanilla Air. Dalam kembara
solo saya ke Okinawa yang lalu, saya menaiki penerbangan Vanilla Air dari Tokyo-Narita
ke Okinawa-Naha dan pulangnya pula dengan penerbangan Jetstar Japan ke Osaka.
Biasanya ketiga-tiga airlines ni yang
menawarkan harga paling murah untuk ke Okinawa jika kita berlepas dari Tokyo
ataupun Osaka. Harga boleh didapati serendah RM300 untuk penerbangan pergi balik
dari Tokyo/Osaka ke Okinawa. Penerbangan Tokyo-Okinawa mengambil masa selama
lebih kurang 2 jam 45 minit manakala jika naik dari Osaka pula mengambil masa
cuma 2 jam sahaja.
Menaiki penerbangan Vanilla Air dari Tokyo-Narita ke Okinawa-Naha. Okinawa, aku datang! |
Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Naha, cara
paling jimat untuk menuju ke pusat bandar adalah dengan menaiki monorail. Cuma
ada satu laluan tren monorail sahaja di Naha ni. Ia menghubungkan stesen Naha
Kuko (airport) hinggalah ke stesen Shuri.
Tambangnya juga sangat berpatutan. Pada trip saya yang lalu, saya menaiki
monorail dari airport Naha dan turun
di stesen Kencho-mae, iaitu stesen yang terletak paling hampir dengan kawasan
utama tumpuan pelancong di Kokusai Dori. Perjalanannya cuma mengambil masa 12
minit dan tambangnya pula cuma 260¥.
Betapa canggihnya negara Jepun, kat pulau pun ada monorail. |
Tempat Penginapan
di Okinawa
Apabila kita sebut sahaja negara Jepun, sudah pastinya kita
membayangkan kos yang mahal-mahal belaka. Sebenarnya itu semua silap! Sebagai
seorang independent traveller, kita mesti
pandai mencari jalan untuk mengurangkan kos kembara kita. Kalau di Tokyo, saya
pernah bermalam di hotel kapsul yang sangat bagus servisnya pada harga cuma
RM65/malam. Begitu juga di Okinawa, saya menginap di Hotel Grace Naha, tak jauh
dari stesen monorail Kencho-mae, lebih kurang 5 minit jalan kaki sahaja. Pada
ketika itu, harga yang saya dapat cuma RM60/malam bagi single room with shared bathroom. Fasiliti di hotel ini juga sangat
bagus. Sekiranya saya berpeluang ke Okinawa lagi, sudah semestinya saya akan
memilih untuk menginap di sini lagi. Jom ke Okinawa lagi!
Welcome to Okinawa! |
Apa Uniknya
Okinawa?
Pernahkah korang mendengar komuniti di Okinawa memilik
populasi manusia dengan jangka hayat yang paling panjang di dunia? Berdasarkan
kajian, individu wanita di Okinawa mempunyai jangka hayat selama 86 tahun
manakala bagi lelaki pula 78 tahun. Mungkin faktor utamanya disebabkan oleh
pemakanan. Komuniti di sini lebih banyak mengamalkan pemakanan yang berasaskan
rumpai laut, goya (mirip seperti
timun), tofu dan kunyit.
Ini pula snek utama yang banyak dijumpai di Okinawa, "beni imo tart" yang diperbuat daripada sweet potato. Makan ni boleh panjang umur kot. hahaha.... |
Halalan toyyiban ya... Harga sekotak beni imo tart yang ada 12 ketol cuma 1,200¥ |
Selain itu, Okinawa juga turut diberi gelaran sebagai
“Japan’s Hawaii”. Kalau di Hawaii ada Honolulu, manakala di Okinawa pula ada
Naha. Jadi kalau belum berkemampuan untuk ke Hawaii (macam saya…hehehe),
apakata korang datang je Okinawa ni. Korang boleh merasai suasana ala-ala
“Hawaii” ni di sepanjang laluan jalan utama tumpuan pelancong di sini iaitu di
Kokusai Dori. Di pinggir jalan dihiasi dengan pokok-pokok palma. Udara dan
suasana di sini juga sungguh tenang.
Kokusai Dori |
Kokusai Dori |
Kokusai Dori |
Kokusai Dori |
Kalau di Tokyo ada Shibuya crossing, kat Okinawa ada Kokusai crossing hehe... |
Di Naha ini juga korang boleh berkunjung ke Makishi Public Market yang terletak di pinggir Kokusai Dori ni. Macam-macam ada dijual disini.
Tengok market dia, bersih yang amat |
Kedai Doraemon pun ada! |
Okinawa juga mempunyai beberapa lagi pulau kecil yang mudah
diakses dari Tomari Port di Naha seperti Pulau Tokashiki, Pulau Aka dan Pulau
Zamami. Dalam trip saya yang lalu, saya sempat berkunjung ke Pulau Zamami. Korang boleh buat tempahan tiket feri ni di Tourist Information Centre yang terdapat di Kokusai Dori. Harga tiket feri pergi balik dari Naha ke Pulau Zamami adalah 4,030¥.
Si Malik & Maisarah (bukan nama sebenar) ni lah yang membantu saya membuat tempahan tiket feri ke Pulau Zamami. Mereka berdua ni sangatlah baik hati. |
Perjalanan dari Tomari Port ke Pulau Zamami dengan menggunakan slow ferry memakan masa selama 1 jam 30 minit. Dalam perjalanan, feri ni berhenti di Pulau Aka terlebih dahulu untuk menurunkan penumpang di sini. Rata-rata pulau di sekitar Okinawa ni air lautnya sangatlah biru dan cukup indah sekali. Bagi sesiapa yang
memang sukakan aktiviti air seperti snorkeling
tu, kat sinilah syurga korang. Di sini korang juga boleh sewa basikal untuk ronda-ronda di kawasan pulau ni.
Tak boleh topless ye atas feri ni! |
Welcome to Zamami Island! |
Bagi pendapat peribadi saya, Okinawa adalah sebuah pulau yang
cukup mendamaikan. Jika suatu masa nanti kalau korang nak mencari ketenangan
jiwa tu, sesuai sangatlah datang ke Okinawa ni. Semoga suatu hari nanti saya
berpeluang untuk berkunjung ke Okinawa semula.
Sayonara!
best nye..... berape hari pergi okinawa dan nak get around cemner? bus or taxi or sewa kereta?
ReplyDeletePergh ! Layan bro cerita anda !
ReplyDeleteTeruskan menulis !
tertarik dan menarik. rasa mcm nak join skaki la plak
ReplyDeletebagusla bro, terbaik bro punya pengalaman.
ReplyDelete