Pernah kah korang mengimpikan sebuah percutian mewah dengan berbekalkan
bajet yang seciput? Menginap di rumah agam, dibawa bersiar-siar dengan
kenderaan mewah, makan dan minum juga ditanggung beres? Hmmmmm…. apabila
didengar macam tak logik je kan? Tapi ia tidak mustahil untuk direalisasikan. Mari
saya kongsikan pengalaman saya dan rakan-rakan yang menjadi “tetamu VIP” semasa
pengembaraan kami ke negara Kuwait.
Di sini bermula....
“Ko nak pergi Kuwait? Ada apa kat sana weh? Padang pasir?
Kepanasan? Buang duit je lah kau nak pergi sana, bukannya ada apa-apa menarik
pun kat sana” – Itulah kata-kata yang meluncur keluar dari mulut beberapa orang
rakan apabila aku cakap nak pergi backpacking
ke negara Kuwait.
Kuwait merupakan sebuah negara di bahagian Timur Tengah yang
mungkin tidak mendapat perhatian ramai orang untuk berkunjung ke sana, apatah
lagi untuk pergi bercuti ke sana. Tapi atas dasar ini lah yang lebih menguatkan
azam aku untuk berkunjung ke sana. Pada mata orang, mungkin Kuwait tiada apa-apa
tarikan tetapi aku percaya, di setiap inci muka bumi ini pasti ada sesuatu yang
boleh memuaskan nafsu kembara aku ini.
Kuwait Tower; mercu tanda negara Kuwait |
Perjalanan menuju ke Kuwait
Berbekalkan tiket penerbangan pergi balik
Manila-Kuwait-Manila dengan syarikat penerbangan tambang rendah Cebu Pacific
Air yang berharga RM60 (Ya, korang membacanya dengan betul, Ringgit Malaysia
Enam Puluh sahaja, bukan RM600, bukan RM6,000), aku dan 6 orang rakan yang lain
berjaya menjejakkan kaki di bumi Kuwait. Pada asalnya, seramai 30 orang telah berjaya
membeli tiket murah tersebut akan tetapi pada saat-saat akhir, cuma 7 orang
sahaja yang dapat pergi termasuk aku. Rugi betul lah mereka-meraka yang tak
menyertai trip ke Kuwait baru-baru ini, hehehe…..
7 orang backpackers "Sang Penindas" siap sedia ke Kuwait! |
Kami bertujuh bertemu di Ninoy Aquino International Airport,
Manila. Ada beberapa orang teman yang baru pertama kali aku kenal – Syareena,
Hafiz, Wafi dan Syamsul. Sebelum ni kami hanya mengenali di laman facebook
sahaja, manakala Noorina dan Kak Sam memang aku dah sedia kenal mereka sebelum
ni. Disebabkan penerbangan kami ke Kuwait berlepas seawal jam 3 pagi, maka kami
berada di Manila sehari sebelumnya. Jadi peluang masa yang singkat ni kami
gunakan untuk keluar cuci mata kejap di Kota Metro Manila ni. Kami sempat berkunjung
ke sebuah penempatan penduduk Muslim di sana dan menikmati makanan halal di
sana.
Tabah bergelandangan di Ninoy Aquino Airport |
No trolley bags are allowed! |
Penerbangan dari Manila ke Kuwait mengambil masa hampir 10
jam. Apa yang syoknya, penerbangan yang kami naiki kali ni tidak ramai
penumpang, maka kami semua dapatlah merebahkan tubuh kami di tempat duduk yang
tidak berpenghuni itu. Setiap orang dapat satu baris kerusi untuk
beradu…hehehe… Dah la bayar tiket 60 hengget saje, dapat “flat bed” pulak
tu….hahahaha…. Disebabkan ini merupakan penerbangan tambang rendah, maka kalau
nak makan kena beli lah. Tapi korang jangan risau sebab Cebu Pacific ada
menjual makanan halal dalam penerbangannya, cuma bagi aku harga menu nasi nya
agak mahal berbanding dengan AirAsia.
Dibuai mimpi-mimpi indah... |
Setelah masing-masing mendapatkan mimpi-mimpi yang indah di
sepanjang penerbangan Manila-Kuwait, maka tibalah kami di Kuwait International
Airport sekitar jam 4 pagi waktu tempatan. Untuk makluman, waktu tempatan di
Kuwait adalah 5 jam lewat berbanding waktu Malaysia. Sebaik tiba di sana,
perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menguruskan visa on arrival (VoA). Bayaran sebanyak 3 KD (~RM45) dikenakan dan
tempoh maksimum yang dibenarkan berada di sana adalah selama 3 bulan. Yang
uniknya, semua urusan permohonan VoA di sini adalah berdasarkan konsep layan
diri. Kita perlu membuat fotokopi passport kita sendiri, mengisi borang visa
dan seterusnya membeli stamp visa yang berharga 3 KD di mesin-mesin yang
disediakan. Setelah semua urusan ini selesai barulah kita mengajukan permohonan
ini ke kaunter petugas imigresen. Cukup mudah sekali!
Safely arrived....Alhamdulillah |
Stamp yang berharga 3 KD untuk VoA |
Setelah semua urusan imigresen selesai, langkah seterusnya
ialah mendapatkan kad sim bagi internet pula. Macam aku ni yang hantu facebook,
mana boleh nak berenggang dengan internet, hahaha…. Di sini aku menggunakan kad
sim Ooredoo. Bayar 5 KD boleh dapat 4GB internet, ok lah tu, janji tak terputus
hubungan dengan alam maya…hahahaha…
Menginap di rumah agam
di Kuwait
Negara Kuwait sangat sinonim dengan kos sara hidup yang
tinggi. Apatah lagi mata wangnya pula merupakan mata wang yang paling mahal di
dunia! Semasa trip kami yang lalu, kadar pertukaran mata wang Kuwait Dinar (KD)
kepada ringgit pada masa itu ialah sekitar 1 Dinar ~ RM15!!! Mak aiiii 15 kali
ganda lebih mahal daripada duit RM!
Perkara yang paling merisaukan kami dalam trip kali ni ialah
mendapatkan tempat penginapan yang berpatutan dengan bajet kami. Kalau cari kat
booking.com atau di agoda, rata-rata kadar sewaan hotel di sana mahal-mahal
belaka, memang tersasar jauh dari bajet kami.
Beberapa hari sebelum trip ni, kami ‘dikejutkan’ dengan
perkhabaran gembira daripada seorang ahli dalam trip ni iaitu Kak Sam. Kam Sam
ni sebenarnya begitu aktif dengan komuniti “Couchsurfing”. Alhamdulillah, atas
usaha Kak Sam, kami berjaya mendapat seorang host di Kuwait yang bersetuju
untuk menerima kami sepanjang berada di sana nanti. Host kami tu namanya
Hossein, seorang pemuda Kuwait yang begitu peramah dan tak putus-putus melayan
dan menjaga kebajikan kami sepanjang berada di Kuwait.
Kali ni boleh dikatakan kami menginap di sebuah rumah agam
yang cukup besar sekali. Pertama kali kami tiba di sini, masing-masing
kelihatan jakun….wowwwww….hahahaha. Rumah host kami ni ada 3 tingkat dan dalam
rumah ada lif ye. Keluarga ni terdiri daripada 5 orang semuanya dan ada 2 orang
pembantu rumah yang berasal dari Filipina. Geng-geng lelaki ditempatkan di
sebuah bilik besar yang lebih dikenali sebagai ‘dewaniyah’ manakala geng-geng
pempuan pula dalam sebuah bilik tidur yang lain di tingkat paling bawah.
Dewaniyah merangkap kamar tidur geng-geng lelaki |
Bergambar kenangan dengan lif Haji Ali...hehehe |
Mengalahkan toilet hotel! |
Tiga dara pingitan melaram di Dewaniyah |
Ruang dapur yang cukup luas sekali |
Jangan
terkejut juga, di rumah agam ni ada sebuah bilik yang dilengkapi dengan penghawa
dingin yang dikhaskan untuk kucing sahaja! Haaaaa….huntong jadi kucing-kucing
ni tau. Kami semua berasa amat bersyukur sekali kerana mendapat seorang host
yang baik macam ni.
Sepanjang menginap dengan keluarga Hossein, kami bukan sahaja
mendapat tempat penginapan yang selesa dan mewah, malahan kami turut
dihidangkan dengan pelabagai makanan tempatan yang lazat-lazat semuanya. Setiap
pagi sebaik sahaja mencelikkan mata, sajian sarapan pagi sudah sedia terhidang.
Ahaks….
Rutin kami setiap pagi, bersarapan bersama keluarga Haji Ali |
Selesai bersarapan pagi pula, kami turut dihidangkan dengan ‘fruits
basket’ di ruang tamu. Sambil menikmati siaran televisyen, kami menikmati
buahan-buahan yang cukup segar sekali. Kat Malaysia nak makan buah sekali
seminggu pun susah, kat sini hari-hari dapat makan buah secara percuma…hehehe
Kami juga mendapat fruits basket setiap pagi! |
Sebelum tuan rumah muncul, harus mengkedarah buah-buahan dengan sepuas-puasnya, hahaha... |
Ibu kepada host kami, Hajjah Alia cukup mengambil berat
tentang kami. Disebabkan salah satu minatnya ialah dalam bidang masakan, dia
masak macam-macam untuk kami. Hari pertama kami dihidangkan makan tengahari
dengan “mandy lamb” versi Kuwait. Sedap tu jangan cakaplah, masing-masing
menambah sampai 2-3 kali. Marvelles! Selain daripada tu, Hajjah Alia ni juga
rajin sangat buat kek. Setiap hari kami disajikan dengan kek yang berbeza-beza
untuk hidangan minum petang. Lazat tak terkata, pekena lagi dengan teh
panas-panas….perghhhhhh!
Lamb mandy |
Jalan-jalan di Kuwait
Disebabkan rumah host yang kami menginap ni agak jauh dari
pusat bandar, kami juga bingung macam mana nak jalan-jalan ye? Pengangkutan
awam juga agak terhad di sini. Sekali lagi kami menarik nafas lega kerana
sepanjang kami di sini, Hossein telah memberitahu kami yang bapanya, Haji Ali
akan membawa kami ke mana sahaja tempat yang kami nak pergi. Ya Allah, syukur
betul kami dengan apa yang telah kami dapat sepanjang berada di sini.
Haji Ali, merupakan seorang yang sangat peramah dan amat
melucukan. Ada je lawak yang dia buat, tak kira tempat, tak kira masa, memang
gelak sakan kami semua. Kami juga pernah memberitahunya yang kami nak pergi
jalan-jalan sendiri dengan menggunakan teksi, tapi Haji Ali tetap meghalang
niat murni kami tu. Dia cakap kalau nak pergi mana-mana, bagitahu saja dia, dia
akan setia membawa kami. Rasa bersalah dan menyusahkan pun ada…huhu…
Destinasi pertama yang kami kunjungi di Kuwait ni ialah ke
Souq Mubarakiya. Tengok, awal-awal dah bermula dengan acara shopping, macamlah
ada banyak sangat duit dinar tu…hahaha… Souq Mubarakiya ni kira macam main
bazaar diorang lah. Macam-macam ada dijual di sini, pakaian, makanan, barang
mentah, produk wangian, manisan, cenderahati dan macam-macam lagi. Aku sempat
merembat 2 keping fridge magnet sahaja yang berharga 1.5 KD setiap satunya. Tu je yang mampu aku beli, huhu…
Souq Mubarakiya |
Wang kertas Kuwait Dinar; ada nilai dalam bentuk pecahan ye..hehehe |
Selain itu, kami juga sempat berkunjung ke mercu tanda negara
Kuwait ni, iaitu Kuwait Tower yang terletak di Arabian Gulf Road. Menara ni
berketinggian 187 meter dan terdiri daripada 3 buah sfera. Di menara pertama
yang terdapat 2 sfera tu digunakan sebagai viewing point dan juga restoran, manakala
di menara kedua yang berketinggian 145 meter tu berfungsi sebagai tangki
simpanan air.
Eh! Eh! Main tolak-tolak pulak dah... |
Kuwait Tower |
Kuwait Tower di malam hari |
Salah satu agenda yang telah kami atur sebelum ke sini adalah
untuk berkunjung ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Kuwait. Setelah persetujuan
dicapai, maka kami mendapat slot selama 1 jam untuk berkunjung ke pejabat
Kedutaan Malaysia di sini sambil mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama
rakyat Malaysia di sini. Banyak jugak info berkenaan negara Kuwait yang kami
dapat dalam ‘persidangan’ kami dengan pihak kedutaan di sini.
Bergambar kenangan bersama Duta Besar Malaysia di Kuwait |
Salah satu lagi tarikan utama di sini ialah Masjid Besar
Kuwait (Grand Mosque). Masjid yang terletak di tengah-tengah Kota Kuwait ni
lebih dikenali sebagai Masjid Al-Kabir dan ia merupakan masjid yang terbesar di
sini dengan keluasan hampir 490,000 kaki persegi. Di sini kami dibawa melawat
ke setiap ruangan di dalam masjid ini. Senibina dan rekaan dalaman masjid ini
sungguh mengkagumkan. Dari dindingnya hinggalah ke bahagian bumbungnya,
dekorasinya cukup halus dan berseni sekali. Apa yang menarik lagi, tiada
sebarang bayaran dikenakan untuk melawat dan mengikuti tour di masjid ini. Siap dapat souvenir
percuma lagi tau!
Masjid Al-Kabir |
Selain daripada tu, kami juga sempat berkunjung ke sebuah
muzium yang banyak menyimpan sejarah dan perkembangan tradisi negara Kuwait,
iaitu di Sadu House. Di sini kita boleh mempelajari segenap aspek yang berkaitan
dengan kebudayaan dan tradisi masyarakat Kuwait.
Sadu House |
Baik-baik bang... |
Pada hari terakhir kami di sini, kami masih lagi mendapat
layanan VIP daripada host kami. Kami dibawa pula untuk menikmati jamuan makan
tengah hari di sebuah hotel lima bintang di sini. Kali ni kami dijamu dengan makanan
dari negara Lubnan pula, hehehe….huntonglah badan…
Ahkak senyum melebar! |
Pada sebelah malamnya pula, Haji Ali dan keluarganya
mengadakan sebuah jamuan BBQ untuk kami semua. Jamuan ni diadakan di bahagian roof top rumah agam ini. Di majlis ini,
kami semua mengucapkan berjuta-juta terima kasih di atas layanan yang telah
diberi kepada kami sepanjang berada di sini. Semoga keluarga ini sentiasa
dirahmati Allah di atas segala kebaikan yang telah diberi kepada
tetamu-tetamunya. Amin.
Jamuan perpisahan, sobs...sobs...sobs |
Ingatlah! Tarikan sesebuah negara itu tidak hanya terletak
pada mercu tandanya, malah yang lebih kekal di memori adalah nilai sebuah
hubungan kemanusian yang utuh dan murni.
Thank you for everything and till we meet again InsyaAllah. May Allah bless this family. |
Kuwait – mission accomplished!