Kembara Sahara di Bumi Tunisia

Assalamualikum wbt dan ahlan wa sahlan wa marhaban bikum…

Cewaaahhhhh…ada gaya ala2 abam Arab tak abam KC ni? Hehehe…
Atas permintaan ramai (ramai ker?), kali ni abam KC tergerak untuk berkongsi dengan korang semua berkenaan dengan kembara Sahara di sebuah negara di Benua Afrika. Dalam perkongsian kali ini, abam cuba untuk mempengaruhi korang semua untuk membuat satu anjakan paradigma dalam aspek pengembaraan korang. Abam ingin menarik perhatian dan minat korang supaya untuk memilih destinasi-destinasi yang jarang dikunjungi oleh kebanyakan orang kita tanpa menggunakan bajet yang terlalu besar. Nota kembara abam kali ni agak panjang, jadi bertabah aje lah ye kalau nak kan ilmu...hehehe 

Di sini bermula.... 

“Hurriyah, Karamah, ‘Adalah, Nizam” – itulah motto bagi sebuah negara kecil yang terletak di bahagian utara Benua Afrika, yakni Tunisia. Negara yang dihuni hampir 12 juta penduduk, yang majoritinya beragama Islam ini mungkin tidak mendapat perhatian atau menjadi fokus utama kepada kebanyakan di antara kita untuk mengembara ke sana. Apatah lagi dengan insiden berdarah yang terjadi di Port El Kantaoui, Sousse pada 26 Jun 2015 yang lalu yang telah membunuh seramai 38 orang pelancong yang kebanyakannya dari negara Eropah yang sedang bercuti di sana. Berikutan insiden tersebut, kerajaan Tunisia masih lagi mengeluarkan amaran kecemasan yang berkuatkuasa sehingga tempoh 21 Februari 2016.

Negara Tunisia terletak di bahagian utara benua Afrika.
Ia berjiran dengan Algeria di sebelah barat dan Libya di sebelah tenggara.

Dalam kembara Tunisia ini, abam tak berkeseorangan. Kali ni abam mengembara dengan seorang sahabat, Faiz. Sebenarnya trip ni kami dah rancang seawal bulan Oktober 2015 yang lalu, iaitu sewaktu kami membeli tiket penerbangan ke Tunis. Tapi nak dijadikan cerita, kami tak pernah pun study betul-betul pasal trip Tunisia ni, semua perancangan dan jadual perjalanan kembara kali ni hanya dirancang 3 hari sebelum tarikh perjalanan! Gila kau!!! Jadi trip kali ni boleh dikatakan sebagai trip “redah & terjah” jer! Tapi Alhamdulillah semua perjalanan kami semasa kembara di sana dipermudahkan tanpa sebarang insiden yang tak diingini berlaku.

Tips Mengembara di Tunisia

1. Penerbangan ke Tunisia

Untuk ke Tunisia, buat masa sekarang tiada penerbangan secara terus dari KL ke Tunis, ibu negara Tunisia. Dalam trip yang lalu, kami memilih untuk menaiki penerbangan Saudi Arabian Airlines mengikut laluan penerbangan KL-Jeddah-Tunis. Di Tunis, kita mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Carthage. Tempoh penerbangan KL-Jeddah adalah hampir 7 jam 30 minit manakala untuk Jeddah-Tunis pula sekitar 4 jam. Perlu diingatkan juga, waktu tempatan di Tunisia adalah 7 jam lewat berbanding waktu Malaysia. Harga promosi tiket pergi balik KL-Jeddah-Tunis boleh didapati pada harga antara RM1,400-RM2,000. Selain daripada Saudi Arabian Airlines, korang juga boleh terbang ke Tunis dengan penerbangan Emirates, Qatar Airways ataupun Turkish Airlines.

Alhamdulillah, abam KC dah selamat mendarat di Tunis Carthage International Airport.
2. Keperluan dokumen bagi memasuki negara Tunisia

Bagi pemegang passport antarabangsa Malaysia, kita boleh memasuki negara Tunisia tanpa visa untuk tempoh maksimum selama 3 bulan. Jadi, cuma bawa passport jer dan perlu isi borang pendaratan imigresen sebaik tiba di sana. Pegawai Imigresen kat sana pun tak de banyak songeh nak soal siasat kita. Urusan masuk dan keluar sangat mudah.

Perlu isi borang pendaratan untuk diserahkan semasa pemeriksaan imigrasi.
Bahasa Inggeris jarang digunakan di sini, mereka lebih mengutamakan penggunaan Bahasa Arab dan Perancis. Abam KC minta tolong pramugari Saudi Air yang translatekan.  

3. Matawang negara Tunisia

Matawang yang digunakan ialah Tunisian Dinar (TND). Kadar pertukaran TND kepada MYR adalah 1.00 TND ~ 2.05 MYR. Matawang TND tidak boleh didapati di mana-mana negara lain, jadi tukaran kepada TND hanya boleh dibuat di sana sahaja. Korang boleh bawa matawang USD atau Euro untuk ditukar ke TND di sana. Tukaran boleh dibuat di mana-mana kiosk bank atau money changer yang terdapat di balai ketibaan Carthage Airport. Tak rugi manapun tukar duit TND di airport sini.


Wang kertas Tunisian Dinar. Semua dia kasi pecahan 20 dinar kat abam.
Hentam saje lah labu asalkan bernilai.
Ini pula wang syiling Tunisian Dinar.
Ada pecahan 5 TND, 1 TND, 1/2 TND, 0.1 TND dan 0.2 TND

4. Akses internet dan komunikasi di Tunisia

Bagi sesiapa yang jenis tak dapat berenggang dengan internet tu, sebenarnya ada banyak je syarikat telekomunikasi di sana yang menawarkan pakej-pakej internet. Untuk makluman, jaringan wifi di sana juga agak terhad. Jadi, sepanjang di sana kami memilih kad sim untuk internet daripada syarikat Tunisie Telecom. Kami memilih pakej internet 3G unlimited untuk tempoh 1 minggu. Kos nya 20 TND. Selain daripada Tunisie Telecom, ada juga syarikat telekomunikasi yang lain seperti Orange dan Ooredoo.

Daripada aspek bahasa dan komunikasi pula, bahasa Arab dan Perancis merupakan bahasa rasmi yang digunakan di sana. Kebanyakan daripada papan tanda di sana ditulis dalam dwi bahasa, iaitu bahasa Arab dan Perancis. Majoriti daripada penduduk tempatan di sana juga tidak mahir untuk bertutur dalam bahasa Inggeris.

5. Sewa kenderaan di Tunisia

Memandangkan kali ni abam KC megembara secara duo, jadi kami telah putuskan untuk mengembara di seluruh Tunisia secara independent dengan menyewa kenderaan sendiri. Lagipun kebanyakan tempat-tempat menarik di Tunisia ni terletak di remote area yang memang sukar untuk dikunjungi dengan pengangkutan awam. Jadi, cara terbaik untuk menikmati kembara di Tunisia adalah dengan menyewa kenderaan. Sepanjang kembara di sana, kami menyewa kereta jenis compact Hyundai Grand i10 bertransmisi manual pada harga 22.50€/hari termasuk sewaan GPS. Kami menyewa daripada syarikat Camel Car. Untuk makluman juga, lesen kenderaan bermotor yang dikeluarkan di Malaysia adalah sah digunapakai untuk memandu di sana, jadi tak perlulah korang nak pergi buat International Driving Permit sekiranya nak memandu di Tunisia. Perlu diingatkan juga, pemanduan di sana adalah di bahagian kanan jalan (American style). Alhamdulillah, sepanjang perjalanan hampir 2,000 km di sana, kereta comel kami ni langsung tak de buat hal. Syukur perjalanan kami dimudahkan.  


Ini lah kereta comel kami sepanjang mengembara di Tunisia :)

6. Kos gasoline/petrol

Harga gasoline/petrol untuk kenderaan di Tunisia lebih mahal berbanding di negara kita. Harga bagi 1 liter gasoline yang kami gunakan untuk kenderaan kami adalah 1.65 TND (~RM3.40). Sepanjang mengembara sejauh hampir 2,000 km di sana, kami telah membelanjakan sebanyak 165 TND (~RM 340) untuk keperluan gasoline kenderaan kami. 

7. Kos penginapan

Memandangkan trip kali ni adalah berdasarkan prinsip “redah dan terjah”, semua tempat penginapan sepanjang berada di Tunisia kami tempah secara walk in sahaja. Penginapan bajet jenis hostel sukar ditemui di sana, jadi pilihan yang tinggal adalah hotel sahaja. Mana-mana hotel yang kami jumpa, kami singgah dan tanya harganya. Jika bersesuaian dengan bajet kami, kami sepakat saja. Sepanjang kembara kami yang lalu, kami telah menginap di 6 buah bandar berbeza. Berikut adalah kos yang telah kami peruntukkan bagi setiap tempat penginapan sepanjang berada di Tunisia:  
  • Tunis: 2 malam – 65 TND/malam 
  • El Kef: 1 malam – 50 TND/malam 
  • Tozeur: 2 malam – 32 TND/malam (termasuk sarapan pagi) 
  • Matmata: 1 malam – 50 TND/malam (termasuk hidangan makan malam) 
  • Medenine: 1 malam – 20 TND/malam
  • Sousse: 1 malam – 55 TND/malam 

Jadi, bajet keseluruhan yang kami peruntukkan untuk penginapan sepanjang trip kali ni adalah sebanyak 369 TND atau 184.50 TND/orang (~RM 378/orang). Untuk makluman juga, semua hotel yang kami menginap adalah bilik twin sharing dengan private bathroom.

Semasa di Matmata, kami berpeluang menginap di Hotel Marhala, sebuah hotel penginapan yang dibina di bawah tanah atau lebih dikenali sebagai ‘underground troglodyte homes’ . Ia merupakan ikon utama kepada pekan kecil Matmata ini. Matmata kian popular kerana di sini terletaknya sebuah troglodyte home, iaitu Hotel Sidi Idriss yang sering digunakan sebagai lokasi penggambaran beberapa buah filem seperti Star Wars, The Phantom Menace dan Attack of the Clones. Jika korang tidak bermalam di Hotel Sidi Idriss ni, bayaran sebanyak 1 TND dikenakan untuk melawat set penggambaran filem tersebut.


Ini adalah rupa troglodyte homes yang banyak terdapat di Matmata.
Bilik-bilik dibina di bawah tanah, di bahagian tengahnya pula dibiarkan terbuka seperti
berbentuk sebuah lubang yang besar.
  
Ini adalah bilik tidur kami. Ruangnya agak luas dan sangat selesa. 

Ini pula ruang makan. Sangat cantik dekorasinya. 
Ini pula tandas dan bilik air nya. Bersih dan sangat selesa untuk melepaskan hajat :p

8. Kos makan dan minum  

Secara kasarnya, kami meletakkan bajet 15 TND (~RM 31) seorang untuk keperluan makan dan minum dalam sehari. Berikut adalah anggaran kos makanan dan minuman di Tunisia: 
  • 1 botol air minuman 1.5 L: 0.65-1 TND
  •  1 kotak minuman jus 1 L: 2.5 TND
  • 1 biji oren (saiz besar): 0.3 TND
  • 1 cawan kecil kopi: 0.75 TND
  • 1 set spaghetti + ayam bakar: 6 TND
  • 1 set kentang goreng + hirisan daging/ayam + salad + roti + sos: 5 TND
  • 1 botol minuman bergas lemonade: 1 TND 
Ini salah satu makanan kegemaran abam di sebuah restoran di Tozeur.
Spaghetti bersama grilled chicken berharga 6 TND.
Ini adalah set makanan yang banyak ditemui di Tunisia.
1 set sebegini biasanya berharag 5 TND.
Kalau dah namanya tekak Melayu, tetap nak nasi jugekkkkk...
Set macam ni pun berharga 5 TND.

9. Rajah laluan perjalanan kembara Tunisia  

Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas lagi berkenaan kembara Tunisia kami, berikut adalah rajah laluan perjalanan yang kami tempuh sepanjang pemanduan di sana. Sesungguhnya Tunisia menjanjikan sebuah pengalaman pengembaraan yang sangat mengujakan. Dari udara beriklim Mediterranean di bahagian utaranya hinggalah landskap berwajah padang pasir yang gersang di bahagian selatannya. Tunisia memiliki segala-galanya.

Laluan yang kami gunakan sepanjang trip kembara Tunisia

10. Faktor keselamatan

Sebelum ke sana, kami sentiasa memantau perkembangan tahap keselamatan, lebih-lebih lagi selepas insiden berdarah yang terjadi pada tahun 2015 yang mensasarkan serangan ke atas pelancong dari luar. Semasa kunjungan kami ke sana, negara Tunisia masih lagi berada dalam tempoh amaran kecemasan berikutan insiden tersebut. Tapi Alhamdulillah, sepanjang berada di sana kami berasa sangat selamat dan tidak terancam oleh mana-mana pihak. Tidak dinafikan sepanjang pemanduan kami di sana, kami telah menempuh berpuluh-puluh pos pemeriksaan dan sekatan jalan raya oleh pihak polis dan tentera di sana. Tapi yang menakjubkan, setiap kali melewati pos pemeriksaan tersebut kami mendapat layanan VVIP oleh pihak polis dan tentera di sana. Tiada proses yang merumitkan bagi kami untuk melepasi setiap pemeriksaan tersebut, malahan polis dan tentera mereka lebih berminat untuk menahan kenderaan-kenderaan yang dipandu oleh rakyat mereka sendiri, hehehe….

Ok, sekarang abam percaya korang dah pun memahami selok belok untuk merancang trip kembara ke Tunisia kan? Sekarang ni abam nak payung korang lagi kenapa korang perlu mengembara ke bumi Tunisia yang sangat unik ni. Jangan terkezut ya kalau segala-galanya ada di Tunisia, jeng…jeng…jeng

#1: Di Tunisia ada Sidi Bou Said (Santorini of Tunisia)

Pasti ramai di antara kita yang lebih mengenali Pulau Santorini yang terletak di negara Greece. Binaan yang majoritinya sinonim dengan warna biru-putih di pinggir lautan ini juga terdapat di Tunisia, iaitu di Sidi Bou Said. Ia terletak lebih kurang 20 km dari pusat bandar Tunis. Kat sini korang boleh berjalan-jalan santai sambil menghirup udara segar dan disapa oleh kedinginan bayu Laut Tyrrhenian. Tempat yang paling strategik untuk menikmati pemandangan yang indah di sini adalah di CafĂ© des Nattes. Berhati-hati dengan individu yang menawarkan korang untuk bergambar dengan burung helang peliharaan mereka. Pastinya ini suatu taktik untuk menge”pau” para pelancong yang berkunjung ke sini. 

Pemandangan indah Sidi Bou Said dari Cafe des Nattes.
Acah-acah orang kaya minum segelas jus kiwi berharga 7 TND kat sini. 
Banyak kedai yang menjual barangan cenderahati di sini.
Putih-biru mirip seakan-akan Pulau Santorini di Greece

#2: Di Tunisia terdapat banyak tinggalan binaan zaman Roman

Kalau di Greece, kompleks Acropolis cukup terkenal dikalangan pelancong di sana, Tunisia juga tidak kurang hebatnya. Di sini juga ada banyak tinggalan sejarah zaman Roman. Salah satunya di Dougga. Bagi pendapat peribadi saya, Dougga merupakan salah satu kompleks arkeologi tinggalan zaman Roman yang paling indah yang pernah saya kunjungi selepas Acropolis di Athens dan Roman Amphitheatre di Plovdiv, Bulgaria. Kompleks arkeologi di Dougga ini telah disenaraikan sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 1997. Kami singgah di Dougga semasa dalam perjalanan dari Tunis ke El Kef. Untuk masuk ke sini, bayaran sebanyak 8 TND dikenakan.


Dougga ruins 
Roman theatre di Dougga 
Pemandangan yang indah dari bahagian atas kompleks arkeologi Dougga 
Dougga diiktiraf sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO
Binaan yang masih utuh di Dougga

Selain itu, di Carthage juga terdapat satu lagi tapak warisan dunia UNESCO yang bercirikan zaman Roman.
Roman ruins di Carthage
Roman ruins di Carthage juga disenarikan sebagai salah satu
tapak warisan dunia oleh UNESCO
#3: Colosseum juga ada di Tunisia

Siapa yang tak mengenali Colosseum yang terletak di Rome, Italy? Tambah lagi ia merupakan salah satu keajaiban dunia. Jangan risau kalau tak dapat ke Italy, kat Tunisia pun ada Colosseum lah. Ia terletak di bandar kecil El Jem. Kami singgah di El Jem semasa dalam perjalanan dari Sfax ke Sousse. Ia memang mirip dengan Colosseum yang terdapat di Rome.


Colosseum di El Jem ini mirip dengan Colosseum yang terdapat di Rome
Sebahagian daripada binaannya telah runtuh

#4: AWAS, “JAMAL” MELINTAS!

Kalau kat Malaysia, mungkin kita dah terbiasa dengan papan tanda “Lembu Melintas”, atau di Australia “Kanggaroo Crossings”. Kalau korang nak rare sikit datang lah Tunisia. Kat sini unta yang melintas! Oh ya, pastikan korang memberi laluan kat unta ni melintas dulu yek, jangan main rempuh je. Unta-unta tu pun ada hak mereka sendiri untuk melintas jalan di sana. Satu lagi, jangan takut nak menghampiri unta-unta liar di sini, unta-unta ni sangat mesra dengan kita walaupun baru pertama kali bersua muka, hehehe… Kami banyak menemui kawasan-kawasan unta melintas di sepanjang perjalanan dari Gafsa ke Tozeur dan dari Tozeur ke Chebika.


AWAS! 
Nampak, dia dah nak melintas jalan tu. Sila bagi laluan ye....
Pantang nampak kamera, terus posing dia....shomelnye dia...

#5: Di Tunisia ada padang pasir Sahara  

Secara jujurnya, saya lebih tertarik untuk menikmati keindahan landskap yang terdapat di bahagian selatan negara Tunisia kerana di sinilah terletaknya hamparan padang pasir yang cukup luas dan indah sekali. Dari Tozeur kami sempat berkunjung ke Ong Jemal dan Mos Espa untuk menikmati landskap padang pasir Sahara di sana. Selain itu hamparan padang pasir yang cantk juga boleh ditemui di Douz. 


Halus, tulus dan mulus....ini lah padang pasir Sahara di kawasan Mos Espa
Indahnya kehidupan di padang pasir
Nama je padang pasir, tak panas pun masa ni, sejuk adalah 
Cantik kan!

#6: Tunisia juga memiliki banyak perkampungan oasis

Dari Tozeur, kami melanjutkan perjalanan melalui beberapa buah perkampungan oasis yang terletak di Chebika, Tamerza dan Mides yang begitu hampir dengan perbatasan dengan negara Algeria. Kami berasa amat selamat ketika berjalan-jalan di perkampungan oasis di sini melalui lorong-lorong rumah yang diduduki oleh penduduk di sini. Jangan takut, penduduk di sini sangat ramah kepada pengunjung.


Pohon-pohon tamar di sebuah perkampungan oasis di Chebika
Sebuah perkampungan oasis di Tamerza
Kalau jalan kat bahagian bawah tu, kita akan nampak aliran air di
sekitar kawasan oasis ni 

#7: Grand Canyon juga ada di Tunisia

Korang tak perlu lagi nak ke USA kalau nak tengok grand canyon, kat Tunisia pun ada bah! Antara yang tercantik adalah canyon yang terletak di Mides, iaitu cuma beberapa kilometer sahaja dari sempadan negara Algeria. Pemandangan di sini sangat alami dan menakjubkan!
Grand canyon di Medes
Awesome sangat pemandangan kat sini
Cantik kan?
Ada aliran air sungai kat bawah canyon ni 

#8: Di Tunisia juga ada rumah bawah tanah (Underground Troglodyte Houses)

Kalau di Matamata, New Zealand ada Hobbit House yang menjadi lokasi penggambaran filem Lord of the Rings, di Tunisia juga tak kurang hebatnya. Di sini ada sebuah pekan kecil yang bernama Matmata. Simbolik kepada Matmata adalah binaan rumah bawah tanah (underground troglodyte houses) yang banyak dibina di sini. Seperti yang saya maklum sebelum ini, Matmata semakin popular untuk dikunjungi kerana di sini terletaknya sebuah unit troglodyte house, yang berfungsi sebagai sebuah hotel iaitu Hotel Sidi Idriss yang menjadi lokasi pembikinan beberapa siri filem Star Wars, The Phanton Menace dan Attack of the Clones.  Korang boleh melawat ke set penggambaran di Hotel Sidi Idriss ini dengan bayaran masuk cuma 1 TND sahaja. Selain daripada itu, korang juga boleh melawat ke muzium bawah tanah yang banyak mempamerkan sejarah perkembangan pekan Matmata ini. Bayaran masuk sebanyak 3 TND dikenakan.


Troglodyte houses di Matmata
Bilik-bilik dibina di bawah tanah 
Pintu masuk ke ruang bilik bawah tanah 

Salah satu set penggambaran filem Star Wars di Hotel Sidi Idriss, Matmata

#9:  Tasik bergaram (salt lake) juga ada di Tunisia

Mungkin agak sukar untuk kita pergi berkunjung ke Salar de Uyuni di Bolivia untuk melihat landskap tasik bergaram di sana. Jangan risau, kat Tunisia pun ada. Kami menjumpai beberapa kawasan gurun yang dilitupi oleh lapisan garam seperti di sepanjang perjalanan dari Tozeour ke Mides. Namun yang paling terkenal adalah di Chott el Djerid, tasik bergaram seluas 5,000 km persegi yang terbentang luas di sepanjang pemanduan kami dari Tozeour ke Kebili. Ada yang tanya masin ke garam kat sini? Dah nama pun garam memang masin rasanya, hahaha…


Salah satu tasik bergaram yang tidak jauh dari perkampungan oasis di Chebika 
Tasik bergaram di Chot el Djerid 
Abam dah buat ujirasa, garam yang terdapat di sini memang masin rasanya.

#10: Landskap “kawah bulan” ada di Tunisia  

Kini tak perlu lagi nak ke bulan kalau nak tengok landskap yang seakan-akan berbentuk kawah. Kat bumi pun ada lah! Ni ha kat Tunisia ni ada jer. Landskap sebegini boleh dijumpai di Chott el Jerid, yang mana ianya juga merupakan salah satu lokasi penggambaran bagi filem Star Wars.


Chott el Djerid
Star Wars juga pernah difilemkan di sini
Permukaan tasik bergaram yang begitu unik 

#11: Tak perlu ke Jepun kalau nak tengok sakura, kat Tunisia pun ada 

Bila cakap pasal sakura, semua orang pakat nak ke Jepun. Alahhhh tak payah lah, datang Tunisia pun berlambak lah pokok bunga sakura kat sini. Kami menjumpai banyak pokok bunga sakura di sepanjang pemanduan dari Tunis ke El Kef dan dari Kebili ke Gabes. Tak sangka betul bunga sakura dapat berkembang mekar di kawasan gurun, hehehe…






#12: Di Tunisia juga ada canola flower

Kat Tunisia ni juga banyak kawasan yang ditumbuhi dengan bunga-bunga bewarna kekuningan yang mirip canola flower. Tak kira lah di tepi lebuhraya ke, di kawasan gurun ke mahapun di dalam ladang pokok tamar juga bunga-bunga ini hidup begitu mekar sekali.


Canola flower yang hidup subur di ladang tamar 


#13: Anda boleh posing maut di tengah-tengah jalan di Tunisia

Kalau korang nak berposing maut tanpa dilanggar oleh kenderaan di tengah-tengah jalan raya dan berlatar belakangkan gunung padang pasir, jemputlah datang ke Tunisia. Antara lokasi yang terbaik adalah di sepanjang perjalanan dari Tozeur ke Mides. Memang susah betul nak jumpa kenderaan yang lalu lalang kat sini.


Masa ni abam tengah posing maut kat tengah-tengah jalan menuju ke Mides,
duduk setengah jam kat sini pun takde kenderaan yang lalu lalang.

#14: Tunisia memiliki banyak lokasi penggambaran filem Star Wars

Bagi penggemar fanatik filem Star Wars, korang wajib datang ke Tunisia kerana beberapa siri filem Star Wars banyak difilemkan di Tunisia. Kami sempat berkunjung ke beberapa set penggambaran filem Star Wars di sini, antaranya di Mos Espa, Matmata, Ksar Hadada, Ksar Medenine dan Ksar Ouled Soltane. Kebanyakan daripada set pengambaran tersebut masih lagi utuh dan berada dalam keadaan yang baik. Kebanyakannya tiada bayaran masuk dikenakan di semua set penggambaran yang kami kunjungi sebelum ini kecuali di Hotel Sidi Idriss, Matmata.

Mos Espa






Ksar Hadada






Ksar Ouled Soltane 






#15: Di Tunisia juga ada laut yang membiru

Lupakan seketika pasal Krabi. Bagi penggemar pantai, Tunisia pasti tidak akan mengecewakan korang. Tunisia juga memiliki beberapa buah pantai yang bersih dengan lautan yang membiru. Antara yang popular adalah di Monastir, Sousse, Hammamet dan La Marsa.


Ni kat pantai di Monastir, tengok tu, biru dan jernih giler air laut dia
Lepas berpanas-panasan di gurun, kita mandi manda pula di
pesisir pantai Laut Mediterranean 

#16: Di Tunisia, kita bukan lagi orang Malaysia tapi lebih dikenali sebagai orang Jepun atau Cina  

“Konnichiwa”, “ni hao” – itulah sapaan pertama yang kami terima daripada kebanyakan penduduk lokal di Tunisia. Boleh dikatakan hampir 95% daripada mereka beranggapan kami berasal dari Jepun atau negara China. Ini sangat melucukan, apatah lagi kulitku yang sangat bersawo matang ini langsung tidak mencirikan ke-Jepunan ataupun ke-Cinaan, hahaha.....

#17: Because DOLCE & GABANA is too mainstream…

Kalau di Itali, mereka cukup berbangga dengan jenama D&G (Dolce & Gabana) mereka, di Tunisia pula mereka lebih tertarik untuk menjenamakan buah pisang mereka dengan jenama D&B (Dolce & Banana)…HAHAHAHA!!!


Kreatif!

Bagi pendapat peribadi saya, Tunisia adalah antara sebuah negara yang paling best yang pernah saya lawati. Terlalu banyak tarikan yang boleh kita nikmati di sana walaupun negara kecil ini kurang terkenal dikalangan orang-orang kita. Kini sudah tiba masanya untuk kita lebih membuka mata untuk mengembara ke Benua Afrika. Jangan terlalu risau akan aspek keselamatan kerana jika kita merancang dengan niat yang baik, InsyaAllah perjalanan kita akan dilindungi. 

Semoga perkongsian kali ni akan memberi manfaat kepada korang semua.

Jom Tunisia lagi! 

Wassalam. 

Kembara Trans Siberia

Salam dan hello semua! Privyet! 

Selamat Tahun Baru 2016! Semoga tahun baru ni dapat menjanjikan kita dengan kehidupan yang lebih baik berbanding tahun-tahun yang sebelumnya. Masing-masing dah pasang azam baru ke? Atau azam lama pun belum tertunai? hahaha... Ada tak sesiapa yang pasang azam nak mengembara ke Russia pada tahun 2016 ni? Haaaa kalau ada meh abam share sikit pasal tips dan perancangan kepada sesiapa yang ada azam nak merealisasikan impian untuk kembara Trans Siberia. 

Alhamdulillah, pada winter yang lalu abam berjaya merealisasikan impian untuk mengembara di negara Russia dengan menggunakan keretapi di laluan Trans Siberia Railway (TSR). Abam telah memilih laluan dari Vladivostok ke Moscow, dan seterusnya mengakhiri kembara TSR di Saint Petersburg. Jadi kat sini abam cuba kongsikan berkenaan beberapa perkara penting bagi menjayakan misi Kembara Trans Siberian Railway ni. Semoga ianya berguna kepada sesiapa yang memerlukan ya. 


Apa itu Trans Siberian Railway (TSR)?

TSR merupakan jaringan keretapi yang menghubungkan Moscow dengan bandar-bandar di bahagian yang jauh ke Timur negara Russia. Ia juga merupakan salah satu laluan keretapi terpanjang di dunia. Kita biasanya lebih mengenali gelaran “Trans Siberia”, tetapi sebenarnya terdapat 3 laluan atau cabang utama di sepanjang laluan TSR ini, iaitu:

Trans Siberian – laluan keretapi yang menghubungkan Moscow dengan Vladivostok sepanjang 9,288 km

Trans Mongolian – laluan keretapi yang menghubungkan Moscow dengan Beijing melalui Ulan Bataar, Mongolia. Ia berpisah daripada laluan utama TSR di bandar Ulan-Ude. 

Trans Manchurian – laluan keretapi yang menghubungkan Moscow dengan Beijing melalui Harbin, China . Ia berpisah daripada laluan utama TSR di bandar Chita.  

Rajah 3 laluan utama Trans Siberian Railway

Berapa lama masa yang diambil untuk melengkapkan kembara TSR?

Sebagai contoh, laluan tanpa stop over TSR yang menghubungkan Moscow dan Vladivostok sejauh 9,288 km megambil masa selama 7 hari untuk tiba di destinasi. Adakah ia bermaksud kita perlu duduk sahaja di dalam keretapi selama 7 hari tanpa henti? Tidak. Korang boleh merancang sendiri untuk berhenti di mana-mana bandar yang korang suka di sepanjang laluan TSR tersebut. Sebagai contoh, jika korang pilih laluan TSR Vladivostok-Moscow (macam yang aku buat), korang boleh berhenti di bandar-bandar utama di sepanjang laluan tersebut seperti Khabarovsk, Ulan-Ude, Irkutsk (untuk ke Tasik Baikal), Krasnoyarsk, Novosibirsk, Omsk dan Yekaterinburg. Bergantung kepada minat masing-masing, aku cadangkan peruntukkan masa sekurang-kurangnya 20 hingga 30 hari untuk menyempurnakan kembara TSR ni. Perlu diingatkan, tempoh sah laku untuk Russian tourist visa adalah 30 hari.

Tugu yang menunjukkan jarak perjalanan dengan keretapi TSR
di antara Vladivostok dan Moscow. Ia terletak di stesen keretapi Vladivostok.

Bagaimana menguruskan visa Russia di Malaysia?

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu membuat permohonan visa untuk masuk ke Russia. Tapi, sebelum nak mohon visa, mesti ada ‘invitation letter’ (juga dikenali sebagai ‘Russian Visa Support’) dulu. Kat mana nak dapatkan invitation letter ni bro? Aku sarankan cara paling mudah dan cepat untuk mendapatkan invitation letter adalah buat secara online di website www.realrussia.co.uk . Korang isi je maklumat yang dikehendaki dalam borang tu, kemudian buat bayaran menggunakan kad kredit sebanyak 15 GBP/~RM 100 (untuk single entry visa) dan submit je, tak sampai 5 minit diorang akan emailkan invitation letter tu ke email korang. Jangan lupa untuk print invitation letter tu ye.

Lepas dah dapat invitation letter tadi, korang boleh teruskan dengan membuat permohonan visa dengan mengisi borang visa secara online di laman web rasmi Kedutaan Russia di Malaysia, www.malaysia.mid.ru . Kalau korang merancang untuk masuk ke Russia sekali sahaja pada satu-satu masa, pilih visa jenis “single entry tourist visa”. Ia sah untuk tempoh maksimum selama 30 hari sahaja. Lepas dah siap isi, jangan lupa untuk print ye. Bila semua dokumen dah ready, korang boleh proceed untuk mengajukan permohonan visa ke Pejabat Kedutaan Russia di Jalan Ampang, KL. Untuk info juga, pejabat urusan visa hanya dibuka pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja dari jam 9.30 pg hingga jam 12.30 tengahari, so jangan pergi salah hari, buang karen je nanti…hahaha. Kalau korang nak ke sana dengan menggunakan pengangkutan awam, korang boleh naik tren LRT dan turun di stesen Jelatek dan seterusnya menapak lebih kurang 15-20 minit.

Perlu diingatkan sekali lagi, sila bawa semua dokumen berikut ke Pejabat Kedutaan Russia untuk membuat permohonan visa – Passport antarabangsa aka buku merah, invitation letter, borang permohonan visa, gambar berukuran passport, tiket penerbangan masuk & keluar dari Russia serta salinan tempahan tiket keretapi dan hotel. Bergantung kepada nasib masing-masing, macam aku hari tu diorang tak tengok pun aku punya tiket flight, tiket keretapi dan tempahan hotel, diorang cuma tengok invitation letter dan borang visa aku tu jer. PERINGATAN: Sila tandatangan borang visa menggunakan pen dakwat BIRU!

Oh ya, jangan lupa bawak duit juga ye. Bayaran untuk single entry visa adalah semahal RM205. Bayaran boleh dibuat di kaunter mana-mana bank (yang terdekat dengan Embassy Russia di Jalan Ampang tu ada Maybank) selepas pihak kedutaan membuat semakan kepada borang visa kita tu tadi. Kalau semua dokumen lengkap dan OK baru buat bayaran. Lepas dah buat bayaran, bawa slip bayaran tadi dan pergi semula ke Pejabat Kedutaan untuk menyerahkan semua dokumen yang lengkap tadi. Akhir sekali, pihak Kedutaan akan bagi satu slip untuk collect visa bila dah siap nanti. Proses visa mengambil masa selama 1 minggu.


Bagaimana membuat tempahan tiket keretapi TSR?

Cara paling mudah tempah secara online di laman web Russian Railways, www.rzd.ru . Kat situ korang boleh check jadual perjalanan keretapi beserta harga tiketnya sekali. Perlu diingatkan, tempahan tiket secara online di laman web Russian Railways hanya dibuka 45 hari sebelum tarikh perjalanan korang. Korang juga perlu sign up dulu bagi membolehkan korang membuat pembelian tiket keretapi di laman web tersebut. Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia.

Sebelum membuat tempahan tiket, korang kena rancang betul-betul kat mana korang nak berhenti di sepanjang laluan TSR tu. Tempahan tiket perlu dibuat dari bandar A ke bandar B, dari bandar B ke bandar C dan seterusnya. Setiap sektor tu memerlukan tiket yang berlainan, bukannya dengan hanya satu tiket sahaja korang boleh menaiki keretapi di sepanjang laluan TSR dari mula hingga akhir, melainkan korang memang tak nak berhenti di mana-mana bandar di sepanjang laluan TSR tersebut. Sebagai contoh, ni tiket keretapi yang aku gunakan sepanjang kembara TSR aku baru-baru ini:

Sektor 1: Vladivostok – Irkutsk (Train No.099)
Sektor 2: Irkutsk – Yekaterinburg (Train No.069)
Sektor 3: Yekaterinburg – Kazan (Train No.139)
Sektor 4: Kazan – Moscow (Train No.001)
Sektor 5: Moscow – Saint Petersburg (Train No.752; Sapsan high speed train)

Tiket-tiket keretapi yang aku gunakan dalam kembara TSR 

Semua tiket tren bagi setiap sektor tu aku tempah secara berasingan. Ini bermaksud aku mempunyai 5 keping tiket yang berbeza kesemuanya. Oh ya, tiket tren yang ditempah secara online di laman web Russian Railways ni akan dihantar dalam bentuk voucher ke email korang. Aku nasihatkan apabila sampai kat sana nanti, perkara pertama yang korang perlu buat adalah pergi ke stesen keretapi di mana kembara korang bermula dan tukarkan semua voucher tadi ke bentuk tiket. Itu lebih selamat walaupun tiket dalam bentuk voucher juga diterima untuk menaiki tren TSR.


Bagaimana rupa keretapi TSR & berapakah pula harga tiketnya?

Secara umunya, terdapat tiga kelas bagi keretapi di Russia, iaitu first class (spalny vagon), second class (kupe) dan third class (platzkart). Dalam kembara TSR aku yang lalu, aku memilih untuk menaiki keretapi kelas kedua (kupe). Dalam setiap kabin kupe, terdapat 4 katil, 2 di bahagian bawah dan 2 di bahagian atas. Di dalam setiap kabin kupe juga terdapat satu meja kecil untuk letak barang-barang makanan. Setiap penumpang akan dibekalkan dengan bantal, cadar, selimut dan tuala kecil. 

Kabin kupe

Jika korang tempah katil di bahagian bawah, korang boleh simpan bagpack atau luggage di ruang yang terdapat di bahagian bawah katil tersebut. Kalau di katil atas pula, korang boleh simpannya di ruang penyimpanan yang terdapat di bahagian atas katil.

Ruang menyimpan bagpack di yang terletak di bahagian bawah lower bed

Kalau korang nak caj gadget-gadget korang, soket ada di bahagian koridor di luar kabin kupe. Di setiap gerabak juga terdapat 2 buah tandas yang terletak di setiap bahagian hujung gerabak. Bekalan air panas pula sentiasa available di setiap gerabak. Jadi kalau korang nak masak maggi ke, nak panaskan makanan ke, nak bancuh air ke memang takde masalah lah.

Ni bahagian luar kabin kupe. Kat tepi koridor tu ada beberapa soket power supply.
Di setiap hujungnya pula ada tandas. 

Berapakah pula harga tiketnya? Harga tiket bergantung kepada kelas yang korang pilih. Selain itu juga, harga tiket bagi katil di bahagian bawah lebih mahal berbanding katil di bahagian atas. Sebagai contoh, berikut merupakan harga tiket keretapi (second class “kupe”, lower bed) yang aku gunakan semasa kembara TSR aku yang lalu.

·      Vladivostok – Irkutsk: 10,172 ruble (~RM 690)
·      Irkutsk – Yekaterinburg: 10,795 ruble (~RM 725)
·      Yekaterinburg – Kazan: 3,970 ruble (~RM 275)
·      Kazan – Moscow: 4,265 ruble (~RM 290)

Bagi perjalanan dari Moscow ke Saint Petersburg pula aku memilih untuk menaiki tren berkelajuan tinggi, Sapsan. Perjalanan dari Moscow ke Saint Petersburg sejauh 650 km memakan masa cuma 3 jam 40 minit. Harga tiketnya pula 2,580 ruble (~RM 175). Jadi, total keseluruhan yang aku belanjakan untuk tiket keretapi sahaja bagi semua sektor perjalanan adalah sekitar RM 2,155. Jika korang memilih untuk menaiki keretapi kelas platzkart selama kembara TSR korang, bajet keseluruhan untuk tiket keretapi akan lebih rendah berbanding menaiki kelas kupe. 

Sapsan high speed train untuk perjalanan dari Moscow ke St. Petersburg 


Bagaimana kehidupan seharian di dalam keretapi semasa kembara TSR?

Makan, baring & tidur! Hahaha….

Sepanjang kembara TSR aku yang lalu, tempoh paling lama aku mereput duduk dalam tren adalah selama 75 jam, iaitu bersamaan hampir 3 hari 3 malam bagi perjalanan dari Vladivostok ke Irkutsk sejauh hampir 4,100 km. Tapi ia tidaklah bermaksud aku cuma duduk dan terperap di dalam tren je selama 75 jam tu. Di sepanjang perjalanan antara Vladivostok ke Irkutsk tu, tren no. 99 yang aku naiki tu berhenti di beberapa buah stesen untuk menurunkan dan mengambil penumpang yang lain. Biasanya di stesen-stesen yang besar seperti Khabarovsk, Belogorsk, Chernyshevsk, Chita dan Ulan Ude, tren akan berhenti agak lama antara 25 minit hingga 1 jam. Jadi, masa ni lah korang nak keluar hirup udara segar dan membetulkan balik tulang-temulang korang yang dah bersimpang siur tu, hahaha…. Tapi keluar pun tak boleh lah nak pergi jauh, hanya berjalan di sekitar kawasan stesen tu je. Kalau stok makanan dan minuman korang dah habis, boleh lah beli kat kedai-kedai runcit yang terdapat di stesen tu, tapi harganya agak mahal lah sikit.

Di dalam setiap gerabak keretapi TSR ni, biasanya terdapat dua orang petugas yang akan bertugas. Mereka lebih dikenali dengan gelaran “provodnitsa”. Antara tugas provodnitsa ni adalah memeriksa tiket setiap penumpang, membersihkan kabin dan memberi peringatan kepada penumpang yang akan turun di stesen masing-masing. Bilik provodnitsa ni terletak berhampiran dengan tempat bekalan air panas. Mereka juga ada menjual makanan-makanan ringan dan minuman jika korang memerlukannya, tapi harganya agak mahal.

Salah satu tugas Provodnitsa ialah membersihkan kabin supaya sentiasa bersih.
Diorang ni kadang-kadang nampak garang tapi dalam hati ada taman sebenarnya :-)

Bagaimana pula dengan makan dan minum di dalam keretapi TSR? Macam aku hari tu, aku memang siap-siap bawak makanan dari Malaysia. Brahims lah yang menjadi makanan rasmi aku sepanjang kehidupan di dalam tren di sana, hahaha...Nak makan, aku cuma panaskan di dalam bekas yang berisi air panas je. Walaupun tekak agak jemu makan Brahims tanpa henti hampir seminggu lebih sepanjang kehidupan di dalam tren, namun aku terpaksa telan jua..yang penting jimat bajet dan patuh syariah, hehehe…

Makanan di sepanjang pengembaraan ditaja oleh Brahims...hahaha
Jangan lupa bawa tupperware, sudu, garfu, bekas minuman ya

Bermacam-macam jenis dan ragam orang aku jumpa sepanjang kehidupan di dalam tren TSR. Mereka semua baik-baik, namun masalah bahasa menjadi penghalang untuk berkomunikasi dengan mereka. Aku terpaksa menggunakan kamus, google translate, bahasa badan dan adakalanya dengan cara melukis sebagai medium komunikasi dengan orang-orang tempatan di sini. Suatu pengalaman yang tidak mungkin aku lupakan sampai bila-bila.

Komunikasi memang ke laut habis, ibarat burung kenyalang bertegur dengan monyet proboscis :-)

Bagaimanakah cara termudah untuk berkunjung ke Tasik Baikal?

Tasik Baikal merupakan destinasi yang wajib korang singgah jika mengembara di sepanjang laluan TSR ni. Ia merupakan tasik yang terdalam (1,642 m) dan tertua di dunia. Ia juga diiktiraf sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 1996.

Jika korang nak berkunjung ke Tasik Baikal ni, korang mestilah berhenti di stesen Irkutsk, yang merupakan sebuah stesen utama di laluan TSR. Dari Irkutsk, cara yang paling mudah dan cepat untuk berkunjung ke Tasik Baikal adalah dengan menaiki minivan atau lebih dikenali sebagai “mashrutkas” ke sebuah pekan kecil di pinggir tasik tersebut iaitu Listvyanka. Di Irkutsk, korang boleh naik mashrutkas ni dari central market. Ia bertolak sebaik sahaja penumpang penuh. Tasik Baikal terletak hanya 70 km dari Irkutsk dan perjalanan menggunakan mashrutkas hanya mengambil masa selama 1 jam sahaja. Tambangnya pula sekitar 120-150 ruble (RM7-RM10) sehala.

Tasik Baikal dikala senja
Sungguh indah ciptaanNya
Ais yang membeku di Tasik Baikal
Smoked omul fish; makanan paling famous di Tasik Baikal
Perkampungan di Listvyanka

Adakah kita perlu membuat “visa registration” di setiap bandar yang kita kunjungi?

Satu perkara penting lagi yang kita perlu tahu bila berkunjung ke Russia ni ialah membuat “visa registration”. Kalau nak ikutkan, visa registration ni perlu dibuat jika kita berkunjung ke sesebuah bandar dan menetap lebih daripada 7 hari. Sekiranya kita menetap kurang daripada 7 hari di sesebuah bandar tersebut, visa registration tidak perlu dibuat.  

Walaubagaimanapun, pada kebiasaanya setiap kali kita check in di tempat penginapan kita, pihak hotel/hostel/guest house akan membuat visa registration untuk setiap tetamu yang menginap di tempat mereka. Kebanyakan hotel akan membuat visa registration untuk kita secara percuma, sesetengahnya pula ada mengenakan bayaran antara 100-200 ruble bagi setiap passport. Sepanjang kembara TSR aku yang lalu, aku buat visa registration sebanyak 4 kali iaitu di Irkutsk, Yekaterinburg, Moscow dan Saint Petersburg. Jangan ambil remeh tentang visa registration ni, kalau korang tak buat visa registration ni sekurang-kurangnya sekali selama tempoh korang berada di Russia, kemungkinan besar korang akan menghadapi masalah semasa nak keluar nanti.

Bangunan Red Square di Moscow
Saint Basil's Cathedral di Moscow
Church on Blood di Yekaterinburg
Church of Our Saviour on Spilled Blood di St. Petersburg

Adakah selamat untuk berbackpacking ke negara Russia?

Jawapannya adalah YA. Di negara Russia, polis ada di mana-mana sahaja untuk memantau keselamatan. Sepanjang kembara TSR aku yang lalu, aku pernah ditahan dua kali oleh polis Russia, pertamanya semasa tiba di stesen keretapi Yekaterinburg dan keduanya di stesen keretapi Kazan semasa menunggu keretapi ke Moscow. Apa yang polis ni buat kat kita jika mereka tahan kita? Mereka cuma periksa dokumen perjalanan kita sahaja seperti passport dan visa Russia kita sahaja. Tapi masa kat Kazan, polis tu periksa semua dokumen perjalanan aku dengan cukup terperinci sekali, bukan setakat periksa passport dan visa sahaja, habis semua tiket-tiket keretapi aku pun dia nak tengok dan match kan dengan sistem imigresen mereka. Memang setiap pergerakan kita di sana akan dipantau dengan begitu terperinci sekali. Jadi, tak perlu lah kita takut jika ditahan polis di sana kalau kita masuk dengan saluran yang betul dan dengan niat yang baik kan. 


Dekorasi pada stesen metro Komsomolskaya di Moscow
Dekorasi pada stesen metro Novoslobodskaya di Moscow
Dekorasi pada stesen metro Kievskaya di Moscow
Yang ni aku dah tak ingat kat stesen mana, yang penting tetap cantik

Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang kembara TSR?

Cabaran utama adalah komunikasi. Agak sukar untuk berkomunikasi dengan orang-orang tempatan di sana kerana kebanyakan mereka tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Jadi sekiranya korang mempunyai kelebihan bertutur dalam bahasa Russia, ia adalah suatu bonus kepada korang. Sepanjang kembara aku yang lalu, aku menggunakan kamus bahasa Russia beserta dengan google translate jika menghadapi masalah dalam berkomunikasi. Kadang-kadang isyarat bahasa tubuh dan komunikasi melalui lukisan  juga lebih berkesan! Selain itu juga korang dinasihatkan untuk belajar membaca tulisan Russia dalam alphabet Cyrillic. Sebenarnya tak lah susah sangat kalau kita dapat hafal huruf tu cuma maksud je lah yang kita tak faham, tapi sekurang-kurangnya ia membantu. 

Bagi orang Islam, kebolehdapatan makanan halal di sana juga agak terhad, walaupun Islam merupakan agama kedua terbesar di Russia selepas Kristian Orthodok. Agak sukar untuk mencari restoran atau kedai makanan halal di sana kecuali di bandar-bandar besar dan di kawasan yang berhampiran dengan masjid. Sepanjang kembara aku yang lalu, aku cuma dapat berkunjung ke beberapa restoran halal di Irkutsk, Kazan, Moscow dan Saint Petersburg sahaja. Semua restoran tersebut terletak tidak jauh dari kawasan masjid. 

Masjid di Irkutsk
 Masjid Kul Sharif di Kazan
Masjid Besar di Moscow
Masjid di St Petersburg

Untuk info juga, negara Russia mempunyai 11 zon masa yang berbeza. Sepanjang kembara TSR dari Vladivostok ke Moscow, kita terpaksa menempuh 8 zon masa yang berbeza. Jadi adalah penting untuk kita memahami konsep zon masa di sana. Prinsipnya mudah je, korang kena tahu waktu setempat dan membandingkannya dengan waktu di Moscow. Perlu diingatkan sekali lagi, semua jadual perlepasan dan ketibaan menggunakan keretapi adalah menggunakan Moscow time, bukannya local time.

Jika korang merancang kembara TSR ni semasa musim sejuk, pastikan korang kena tahan dengan suhu sejuk yang melampau di sana terutamanya di kawasan Siberia. Sepanjang kembara TSR aku yang lalu, suhu terendah yang aku alami ialah -37’C semasa di Irkutsk. Jadi, pastikan pakaian korang mestilah cukup tebal untuk menghadapi suhu sejuk melampau macam tu.

Alhamdulillah, mission accomplished!

Trans Siberia ~ it’s a journey to remember!