Apabila
mendengar perkataan “Madagascar” sudah pastinya tak lain tak bukan kita terus
mengingati filem animasi yang dilakonkan oleh haiwan-haiwan comel yang cukup
popular sekali iaitu filem Madagascar. Mungkin ramai yang menyukai filem
tersebut lebih-lebih lagi dikalangan anak-anak kecil.
Kali
ni saya ingin membawa korang semua lebih dekat lagi dengan “Madagascar”, bukan
nak ajak korang menonton wayang tetapi membawa korang terbang nun jauh bersama-sama
saya ke sebuah negara “tanah merah” di benua Afrika, iaitu Madagascar. Madagascar
merupakan pulau yang ke-4 terbesar di dunia dengan keluasan 592,800 km persegi.
Baru-baru
ini saya dan 4 orang teman yang lain berkesempatan mengunjungi negara
Madagascar. Jadi di sini saya ingin kongsikan panduan-panduan yang berguna sekiranya
ada yang merancang untuk mengembara ke sana suatu hari nanti.
Ready to move it move it! |
1. Penerbangan ke Madagascar
Madagascar
merupakan sebuah negara yang tidak begitu mudah untuk diakses. Penerbangan ke
sana juga rata-ratanya agak mahal kerana tidak banyak penerbangan yang
ditawarkan ke sana. Terdapat beberapa syarikat penerbangan sahaja yang
menawarkan penerbangan ke sana seperti Air Austral (dari Saint-Denis de La
Reunion), Air France (dari Paris), Kenyan Airways (dari Nairobi), South African
Airways/Airlink (dari Johannesburg), Air Mauritius (dari Mauritius), Turkish
Airlines (dari Istanbul), Air Seychelles (dari Mahe) dan Air Madagascar (dari Paris
dan Johannesburg).
Buat
masa sekarang tiada penerbangan terus dari Malaysia ke Antananarivo, ibu negara
Madagascar. Pilihan terbaik adalah dengan menaiki penerbangan Air Mauritius
ataupun Turkish Airlines dari KLIA. Harga tiket penerbangan pergi balik yang
ditawarkan oleh Air Mauritius boleh didapati pada harga serendah RM2,800. Harga
tiket penerbangan dengan Turkish Airlines pula jauh lebih mahal iaitu sekitar
RM5,000. Memang agak mahal jika nak dibandingkan dengan harga tiket penerbangan
ke negara-negara Eropah tetapi perlu diingatkan bahawa tidak banyak syarikat
penerbangan yang menawarkan penerbangan ke Madagascar.
Jika
korang menaiki penerbangan Air Mauritius dari KLIA, ia melibatkan persinggahan
di Lapangan Terbang Changi Singapura selama hampir 1 jam dan seterusnya transit
di Pulau Mauritius. Penerbangan Singapura-Mauritius merentasi Lautan Hindi
memakan masa selama hampir 7 jam dan penerbangan Mauritius-Antananarivo pula
memakan masa selama 1 jam 45 minit. Untuk info juga, waktu tempatan di
Madagascar adalah 5 jam lewat berbanding waktu di Malaysia.
Memandangkan
AirAsia X akan terbang ke Mauritius mulai Oktober 2016 nanti, jadi ini merupakan
salah satu alternatif lain untuk ke Madagascar. Korang boleh menaiki
penerbangan terus dari KLIA2 ke Mauritius dan menyambung penerbangan dengan Air
Mauritius atau Air Madagascar dari Mauritius ke Antananarivo. Di Mauritius kita
mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam manakala di
Antananarivo pula di Lapangan Terbang Antarabangsa Ivato.
Pelangi petang mengalu-alukan kedatangan kami ke Madagascar! |
Selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ivato, Antananarivo. |
2. Keperluan Visa
Kebanyakan
negara boleh mendapatkan visa semasa ketibaan (visa on arrival) untuk memasuki negara Madagascar. Kadar bayaran
visa adalah seperti berikut:
·
25€ / 27$ / 80,000 Ar bagi tempoh maksimum
30 hari
·
35€ / 37$ / 100,000 Ar bagi tempoh maksimum
60 hari
·
45€ / 47$ / 140,000 Ar bagi tempoh
maksimum 90 hari
Prosesnya
amat mudah sekali. Sebelum mendarat kita akan diberi kad imigresen untuk diisi.
Setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ivato, kita perlu ke kaunter bagi
pemeriksaan dokumen (pasport dan kad imigresen) dan seterusnya ke kaunter visa
untuk membuat bayaran visa. Setelah pembayaran dibuat, kita perlu ke kaunter
khas imigrasi untuk mendapatkan cop masuk di pasport kita. Semudah ABC. Welcome
to Madagascar!
Kad Imigrasi Madagascar. |
3. Matawang Ariary
Matawang
tempatan yang digunakan ialah Malagasy Ariary (Ar). Memandangkan matawang ini
sangat sukar didapati di negara-negara lain, jadi dinasihatkan untuk membawa
matawang Euro atau US Dollar. Proses penukaran boleh dibuat di pusat tukaran
wang yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ivato.
Semasa
kunjungan saya ke sana baru-baru ini, kadar tukaran Euro kepada Ariary adalah 1€ = 3,510Ar
= RM4.50. Untuk mendapatkan kadar tukaran yang lebih baik, saya nasihatkan
untuk membawa pecahan wang kertas Euro yang bernilai besar seperti pecahan 50€/100€
kerana kadar tukarannya lebih tinggi berbanding pecahan 5€/10€/20€. Wang kertas
Ariary terdiri daripada pecahan nilai 10000, 5000, 2000, 1000, 500, 200 dan
100. Jadi kat sana kita bisa bergelar jutawan!
Aku kaya! |
4. Waktu Terbaik Untuk Berkunjung ke
Madagascar
Iklim
di Madagascar adalah iklim subtropikal. Secara umumnya iklim di Madagascar terdiri
daripada 2 musim iaitu musim panas beserta hujan (November – April) dan musim
sejuk dan kering (Mei – Oktober). Jadi, waktu terbaik untuk berkunjung ke
Madagascar adalah di antara bulan Mei hingga Oktober, yang mana Julai dan Ogos
merupakan peak season. Elakkan daripada
berkunjung ke sana di antara bulan Januari hingga Mac kerana waktu tersebut
merupakan musim hujan yang berpanjangan dan menyebabkan banyak jalan tidak
dapat dilalui kerana dinaiki air.
Landskap savanah di sepanjang perjalanan dari Antsirabe ke Morondava. |
5. Perjalanan Darat
Cara
terbaik untuk mengatur perjalanan sepanjang berada di Madagascar adalah dengan
menyewa kenderaan pacuan 4 roda, 4WD. Sepanjang berada di sana kami menggunakan
khidmat sewaan 4WD dari syarikat Great Madagascar Tour (GMT+3). Kos sewaan
adalah 120€/orang untuk tempoh selama 9 hari berada di sana. Kos ini sudah
termasuk penginapan dan makan minum untuk pemandu dan tour guide serta khidmat menjemput dan menghantar ke lapangan
terbang. Kos ini tidak termasuk bayaran untuk gasolin. Harga gasolin di Madagascar
lebih mahal berbanding di Malaysia. Harga 1 liter gasoil yang kami gunakan
untuk kenderaan kami di sana ialah 2,720 Ar (RM 3.50).
Ini lah dia kenderaan pacuan 4 roda yang gagah membawa kami ke mana-mana sahaja. |
Perjalanan
darat merupakan cabaran utama apabila berada di Madagascar. Kebanyakan jalan di
sana adalah jalan yang tidak berturap, hanya jalan tanah merah. Apabila musim
hujan tiba, kebanyakan daripada jalan-jalan di sana tidak dapat dilalui oleh
semua jenis kenderaan. Jadi elakkan daripada berkunjung ke sana semasa musim
hujan (Januari hingga Mac).
Road National, RN34 dari Antsirabe menuju ke Morondava |
Selain daripada itu, perjalanan di sana turut melibatkan penyeberangan beberapa batang sungai. Sebagai contoh, perjalanan dari Morondava menuju ke Bekopaka melibatkan 2 kali penyeberangan sungai iaitu Sungai Tsiribihina dan Sungai Manambolo. Kenderaan yang kita naiki akan dibawa menyeberangi sungai dengan menggunakan 'feri' yang berupa bot-bot yang digabungkan bersama. Penyeberangan melalui Sungai Tsiribihina mengambil masa lebih kurang 1 jam dan bayaran feri bagi sebuah kenderaan ialah 50,000 Ar (RM65). Di Sungai Manambolo pula, penyeberangannya cuma memakan masa 5 minit sahaja dan bayaran feri pula ialah 20,000 Ar (Rm25).
Kenderaan berbaris menunggu giliran menaiki feri di Sungai Tsiribihina |
Besi bengkok tu sungguh menakutkan! |
Menyeberangi Sungai Tsiribihina |
6. Penginapan
Sepanjang
berada di Madagascar, kami telah menginap di beberapa buah bandar seperti
Antsirabe, Morondava, Bekopaka dan Antananarivo. Tempahan tempat penginapan ini
boleh dibuat melalui email sebelum berangkat ke sana. Untuk pembayaran pula
boleh dibuat dengan menggunakan matawang Euro. Secara keseluruhannya kami
sangat berpuas hati dengan tempat penginapan sepanjang berada di sana. Yang
penting semua tempat yang kami menginap ada servis wifi walaupun terletak nun
jauh di dalam hutan belantara!
Family room, Couleur Cafe, tempat penginapan kami di Antsirabe. |
Nak tidur dalam tandas pun boleh! |
Katil beradu di Le Grand Hotel, tempat penginapan kami di Bekopaka |
Ada kolam renang juga ya! |
Berikut
merupakan tempat penginapan kami sepanjang berada di sana.
Hari
|
Bandar
|
Hotel
|
Jenis Bilik
|
Harga
|
1
|
Antsirabe
|
Couleur Café
|
Family room
|
60€
|
2
|
Morondava
|
Sun Beach Hotel
|
1 twin room + 1
triple room
|
75€
|
3
|
Bekopaka
|
Le Grand Hotel du Tsingy de Bemaraha
|
Family room
|
65€
|
4
|
Bekopaka
|
Le Grand Hotel du Tsingy de Bemaraha
|
Family room
|
65€
|
5
|
Morondava
|
Sun Beach Hotel
|
1 twin room + 1
triple room
|
75€
|
6
|
Morondava
|
Sun Beach Hotel
|
1 twin room + 1
triple room
|
75€
|
7
|
Antsirabe
|
Hotel H1
|
1 twin room + 1
triple room
|
50€
|
8
|
Antananarivo
|
Hotel Le Relais Normand
|
3 double room
|
50€
|
JUMLAH KESELURUHAN BAGI 5 ORANG
|
515€
|
|||
JUMLAH KESELURUHAN PER ORANG
|
103€
|
7. Makan & Minum
Apabila
bercakap bab makan dan minum, korang jangan risau. Harga makanan dan minuman di
Madagascar sangat murah. Semasa kunjungan kami ke sana cun-cun pulak kena musim
buah oren, lemon, nanas, avocado dan betik. Apalagi melantak sakan lah kami di sana. Untuk info juga, nasi merupakan makanan ruji di Madagascar, jadi makanan bukanlah menjadi masalah besar kepada kita di sana. Selain
itu harga makanan laut juga jauh lebih murah berbanding apa yang ada di negara
kita. Sebagai langkah penjimatan kami turut membawa bekalan makanan dari
Malaysia untuk digunakan di sana.
Lobster yang sangat marvelles! |
Udang 50 sen sekor! |
Coconut shrimp yang sungguh menyelerakan! |
Platting macam makan kat hotel je kan! |
Di kala kehausan kita minum air kelapa muda, cuma RM1.20 sebiji! |
Yang ni kami beli ikan kat nelayan dan hantar ke restoran halal untuk dimasak. |
Berikut
saya senaraikan beberapa harga barang makanan di sana:
Air mineral 1 L = 1,600 Ar ~ RM 2.00
Sebiji nanas = 2,000 Ar ~ RM 2.50
1 kg oren = 2,000 Ar ~ RM 2.50
1 biji betik = 1,500 Ar ~ RM 1.90
1 sikat pisang = 1,000 Ar ~ RM 1.30
1 biji avocado = 200 Ar ~ RM 0.25
1 biji kelapa muda = 1,000 Ar ~ RM1.20
1 pinggan nasi = 1,000 Ar ~ RM 1.30
1 ekor udang galah bersaiz besar = 400 Ar ~ RM
0.50
Sebiji avocado 25 sen! |
Masa ni tengah musim lemon, nanas, betik, avocado, pisang dan macam-macam lagi. |
Sekilo RM2.50 sahaja! |
Setompok lemon ni cuma 25 sen! |
8. Tarikan Utama di Bahagian Pantai Barat Madagascar
Memandangkan
itinerari perjalanan kami baru-baru ini hanya melibatkan perjalanan dari
Antananarivo hingga ke bahagian pantai barat Madagascar, jadi saya akan
kongsikan beberapa tempat menarik yang harus dikunjungi sesuai dengan masa dan
program perjalanan kami. Sebenarnya misi utama kami ke Madagascar tak lain tak
bukan adalah untuk melihat sendiri keunikan pokok Baobab yang mejadi ikon utama
bagi negara ini. Selain itu kami juga sempat berkunjung ke sebuah tapak warisan
dunia UNESCO iaitu Tsingy de Bemaraha (stone
forest). Kedua-dua tarikan utama ini terletak di bahagian pantai Barat
Madagascar.
Avenue of the Baobabs
"If Paris is
the Eiffel Tower, and India is the Taj Mahal, then Madagascar is the Avenue of
Baobabs"
Baobab boleh dikatakan menjadi ikon utama bagi
negara Madagascar memandangkan 6 daripada 9 spesies baobab di dunia terdapat di
sini. Baobab yang hidup subur di sini adalah daripada spesies Adanosia grandidieri. Dalam bahasa
Malagasy, ia dikenali dengan nama “renala” yang membawa maksud ‘mother of the forest’.
Avenue ini terletak di antara bandar Morondava &
Belo sur Tsiribihina di daerah Menabe, Barat Madagascar. Avenue sepanjang hampir 300m ini dihuni oleh pohon-pohon baobab
yang rata-ratanya mempunyai ketinggian hampir 30m dengan usia yang mencapai
hampir 800 tahun. Bagi penduduk tempatan, pokok baobab ini banyak kegunaannya.
Daunnya boleh diproses untuk dijadikan teh manakala buahnya pula boleh dimakan
ataupun dibuat jus.
Baobab Lover; dikatakan pasangan yang datang ke sini tidak akan terpisah buat selamanya. |
Waktu terbaik untuk menikmati keindahan alam di sini ialah semasa menjelang matahari terbenam. Lidah kelu tatkala melihat keindahan di sini. Kanak-kanak riang bermain sambil menyanyikan lagu-lagu hiburan mereka. Tak kurang juga pelawat-pelawat asing yang sudah bersedia dengan kamera masing-masing untuk merakamkan foto-foto yang menarik di sini. Suasana alam di sini begitu mendamaikan. Damai dan tenang.
Taman Negara Tsingy
de Bemaraha
Taman
Negara ini terletak di daerah Melaky, Barat Madagascar. Ia telah disenaraikan
sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO pada tahun 1990. Dikatakan
batuan-batuan di sini terbentuk sejak 200 juta tahun yang lalu akibat daripada
hakisan. Untuk merasai keindahan stone
forest yang ada di sini, terdapat 2 pilihan circuit iaitu Big Tsingy dan Small Tsingy.
Untuk
memasuki Taman Negara di sini, adalah wajib bagi kita untuk mengambil khidmat
pemandu arah. Bayaran masuk yang dikenakan ialah 55,000Ar/orang (RM70) manakala
bayaran bagi pemandu arah pula adalah 200,000 Ar/kumpulan (RM250) jika kita
memilih untuk melawat kedua-dua Big Tsingy dan Small Tsingy. Kami telah memilih kedua-dua circuit tersebut dan berjaya
menyempurnakannya dalam masa satu hari yang sama!
Ketahanan fizikal sangat diperlukan bagi circuit Big Tsingy |
Big Tsingy |
Big Tsingy |
Big Tsingy |
Big Tsingy |
Di puncak Big Tsingy |
All of us reached the top! |
Ada jambatan gantung |
Small Tsingy |
Small Tsingy |
Small Tsingy |
Di
Taman Negara ini juga kita berpeluang untuk melihat beberapa jenis spesies
lemur yang terdapat di sini. Kami bernasib baik kerana terserempak dengan
beberapa spesies lemur seperti brown
lemur dan sifakas semasa berada
di sana.
Brown lemur |
Brown lemur |
Sifakas |
9. Itinerari Perjalanan
Cabaran
utama mengembara di Madagascar adalah menempuh perjalanan yang jauh dan agak
memakan masa kerana kebanyakan jalan yang terdapat di sana adalah jalan yang
tidak berturap. Berikut merupakan itinerari perjalanan kami sepanjang berada di
sana.
Hari 1:
Hari 1:
- Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ivato,
Antananarivo
- Perjalanan dari Antananarivo ke Antsirabe
(170km, 3-4 jam)
- Bermalam di Couleur Café, Antsirabe
Hari
2:
- Melawat di sekitar bandar Antsirabe
- Perjalanan dari Antsirabe ke Morondava (530km,
10-12 jam)
- Bermalam di Sun Beach Hotel, Morondava
Hari
3:
- Melawat di sekitar bandar Morondava
- Perjalanan dari Morondava ke Bekopaka (120km,
8-9 jam)
- Melawat Avenue of Baobab
- Bermalam di Le Grand Hotel du Tsingy de
Bemaraha, Bekopaka
Hari
4:
- Melawat stone
forest Tsingy de Bemaraha
- Melawat perkampungan di Bekopaka
- Bermalam di Le Grand Hotel du Tsingy de
Bemaraha, Bekopaka
Hari
5:
- Perjalanan dari Bekopaka ke Morondava (120km,
8-9 jam)
- Singgah melihat matahari terbenam di Avenue of
Baobab
- Bermalam di Sun Beach Hotel, Morondava
Hari
6:
- Bersiar-siar di pantai Morondava
- Melawat pasar tempatan dan masjid di sekitar
Morondava
- Mangrove
tour
- Bermalam di Sun Beach Hotel, Morondava
Hari
7:
- Perjalanan dari Morondava ke Antsirabe (530km,
10-12 jam)
- Bermalam di Hotel H1, Antsirabe
Hari
8:
- Melawat pasar tempatan di sekitar Antsirabe
- Perjalanan dari Antsirabe ke Antananarivo
(170km, 3-4 jam)
- Bermalam di Le Relais Normand Hotel,
Antananarivo
Hari
9:
- Melawat di sekitar Antananarivo
- Melawat lemur zoo
- Melawat pasar tempatan
- Bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ivato
10. Jumlah Keseluruhan Perbelanjaan
Berikut
merupakan pecahan kos keselurahan yang kami belanjakan sepanjang berada di
sana. Kos ini merupakan kos per orang berdasarkan 5 orang dalam satu kumpulan.
Bil.
|
Perkara
|
Kos (Euro)
|
Kos (Ariary)
|
Kos
(RM)
|
1
|
Tiket penerbangan KL-Antananarivo-KL (Air Mauritius)
|
3,124.00
|
||
2
|
Visa on arrival
|
25
|
115.00
|
|
3
|
Penginapan
|
103
|
473.80
|
|
4
|
Sewaan 4WD
|
120
|
552.00
|
|
5
|
Gasoil
|
193,050
|
245.00
|
|
6
|
Tiket feri
|
28,000
|
40.00
|
|
7
|
Bayaran masuk Tsingy de Bemaraha
|
55,000
|
70.00
|
|
8
|
Bayaran pemandu arah di Tsingy de Bemaraha
|
40,000
|
50.00
|
|
9
|
Makan & minum
|
175,500
|
220.00
|
|
10
|
Tips untuk pemandu & tour guide
|
20,000
|
25.00
|
|
11
|
Cenderahati
|
65,000
|
80.00
|
|
ANGGARAN JUMLAH KESELURUHAN (RM)
|
4,994.80
|
Pada
pendapat peribadi saya, Madagascar merupakan sebuah negara yang begitu unik
untuk diterokai. Walaupun negara ini masih jauh ketinggalan di belakang dari
aspek pembangunan, namun keindahan alam semulajadinya mampu memberi kepuasan
kepada sang pencinta alam. Melihat kedaifan orang-orang tempatan di sana
sedikit sebanyak mampu menimbulkan rasa keinsafan di dalam diri. Betapa
beruntungnya kita yang hidup di sini, sekali sekala kita berasa susah tetapi
ingatlah masih ramai yang di luar sana yang masih berjuang demi sebuah
kehidupan.
Sekumpulan penduduk tempatan yang bekerja di lombong emas. |
Kanak-kanak mengemudi zebu. |
Kehidupan yang cukup selesa bagi mereka. |
Bersama kanak-kanak tempatan yang cukup teruja untuk bertemu dengan orang asing. |
Gula-gula adalah hadiah yang sangat istimewa bagi mereka. |
Kehidupan alam kanak-kanak yang menyeronokkan bagi mereka. |
Perbezaan warna kulit bukanlah penghalang untuk kita sama-sama menyayangi dan berbuat baik sesama manusia. |
Sempena
bulan Ramadhan al-Mubarak ini, terimalah serangkap pantun daripada saya :)
Jus
baobab lazat tak terkira,
Nikmat
diminum ketika berbuka,
Bulan
Ramadhan telahpun tiba,
Kenangan
di Madagascar takkan ku lupa.
Selamat menjalankan ibadah puasa kepada semua kaum muslimin dan muslimat tak kira di mana jua anda berada. Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada sahabat saya Faiz, Izzud, Kak Sam dan Nadia kerana menjadi travel buddy yang sangat membantu sepanjang mengembara di bumi Madagascar.